Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi S.A.W memfardhukan zakat fitrah dalam bulan Ramadan ke atas setiap manusia Muslim (tidak kira hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar) yang dikeluarkan sebanyak segantang tamar atau makanan ruji. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ulasan : Berdasarkan hadis ini, dapat kita fahami bahawa zakat fitrah ini wajib dikeluarkan oleh setiap umat Islam. Cuma para fuqaha menetapkan yang afdal menunaikan fitrah ialah orang yang wajib atasnya memberi nafkah seperti suami, bapa atau atuk yang menjaga dan membesarkan cucunya. Secara mudahnya orang yang bertanggungjawab menanggung perbelanjaan dan urusan memberi nafkah keluarga.
Zakat fitrah wajib atas Semua individu dari kalangan lelaki, wanita, tua, muda hamba atau merdeka yang mempunyai lebihan atau cukup perbelanjaan sehingga hari raya. . Anak perempuan yang masih belum berkahwin masih dianggap di bawah tanggungan bapanya. Namun begitu, jika anak perempuan tersebut ingin membayar sendiri zakat fitrahnya maka dia perlu meminta keizinan dari bapanya terlebih dahulu.
Begitu juga pelajar yang sedang menuntut di universiti dan seumpamanya jika mempunyai lebihan wang perlu membayar zakat fitrah jika tidak dibayarkan oleh orang tua mereka.
Timbul persoalan mengenai tanggungjawab zakat fitrah atas seorang pembantu rumah. Dalam hal ini, Imam Al-Khatib Al-Syarbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menjelaskan ketua atau majikan pembantu rumah itu dibolehkan bahkan lebih afdhal membayar zakat fitrah baginya walaupun pembantu rumah tersebut wajib membayarnya sendiri.
Antara syarat yang berkaitan juga ialah berkaitan dengan keadaan hidup atau mati ketika waktu wajib membayar fitrah. Dalam hal ini, ulama berpendapat, jika seseorang itu hidup pada Ramadan tetapi mati sebelum sampai waktu wajib menunaikan fitrah iaitu dari terbenam matahari hinggalah solat sunat aidilfitri, mereka ini tidak wajib membayar fitrah.
Bagi mereka yang hidup pada Ramadan dan sempat sampai ke waktu wajib walaupun berada di dalamnya sekejap contohnya beberapa minit pada waktu Maghrib malam 1 Syawal, golongan ini wajib menunaikan fitrah.
Begitu juga setiap anak yang dilahirkan pada akhir Ramadan iaitu sebelum waktu Maghrib terakhir Ramadan dan hidup sehingga selepasnya, golongan ini juga wajib dikeluarkan zakat fitrahnya. Tetapi jika anak tersebut lahir selepas Maghrib hari terakhir Ramadan maka tidak wajib fitrah baginya.
Terdapat satu cadangan daripada Umar al-Khattab R.A yang mengatakan jika ibu mengandung ingin menunaikan fitrah bagi anak dalam kandungan adalah dibolehkan bertujan untuk menambah pahala sunat (tathawwu’). Namun begitu hukumnya tetap tak wajib sebagaimana senarai kes di atas tadi.
Zakat fitrah mestilah ditunaikan sebelum dari selesai solat sunat Aidilfitri. Jika ditunaikan selepasnya maka ia tidak lagi dikira zakat fitrah namun hanya dinilaikan seperti sedekah biasa.
Daripada Ibnu Abbas, Baginda S.A.W bersabda, ?Difardukan zakat fitrah untuk membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan bersifat dusta, ia juga sebagai makanan dan kelazatan kepada fakir miskin. Bagi sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri maka zakatnya diterima dan barang siapa yang menunaikannya selepas daripada itu, ia hanyalah sedekah?. (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Namun, menurut Syeikh Salih Uthaimain rhm jika terluput zakat fitrah tersebut ia wajib digantikan (qadha) tetapi tetap dikira sebagai sedekah biasa kerana dibayar sesudah terluput waktunya.